Menyifatkan perkara tersebut sebagai suatu yang kecil dan agak terpecil, Abdul Aziz berkata, ia juga tidak seharusnya diremehkan dalam konteks kaum dan agama.

"Setahu saya tidak ada kesalahan. Ada undang-undang ke yang mengatakan salah pasang bendera terbalik? Cuma benda ini jangan dimainkan, jangan 'dipanaskan'.

"Kadang-kadang kalau tersilap, terlepas pandang, jangan kata ini perbuatan tidak patriotik, anti itu dan ini. Saya fikir bendera terbalik ini orang buat lawak jer ... apanya nak dikatakan tidak patriotik, apa ni, kita dalam Malaysia Baharu lebih 'open' dan terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu berkenaan ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan warga Jabatan Pendidikan negeri Perak di sini hari ini.

Semalam, sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat isu ditularkan dalam laman Facebook berkenaan Jalur Gemilang yang didakwa sengaja dipasang secara terbalik di beberapa premis seluruh negara.

Ditanya mengenai dakwaan NGO yang mengaitkan perbuatan itu seolah-olah merendahkan martabat Yang di-Pertuan Agong, Abd Aziz berkata, perkara itu tiada kaitan sama sekali.

"Jangan terlalu dogmatik sehingga sampai ke peringkat silap pun dianggap sebagai tidak setia, tidak patriotik, 'over' sangat.

"Saya ingat polis pun tahu sebab semua laporan itu harus berlandas kepada undang-undang," katanya. - UTUSAN ONLINE