Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, percubaan itu berkemungkinan akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan untuk melihat keberkesanannya sebelum tindakan lanjut diambil selepas melihat hasil dan maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk peniaga.

Beliau berkata, sekiranya langkah berkenaan berjaya dan mendapat sambutan, ianya akan menambahkan satu lagi ruang tambahan kepada pihaknya untuk menempatkan bazar Ramadan di sepanjang jalan tersebut untuk kemudahan orang ramai dan juga para peniaga.

“Penutupan bermula 15 Mac ini merupakan percubaan, mungkin dilaksanakan dalam tempoh sebulan untuk kita tengok keberkesanannya. Sekarang masalahnya, kita tidak tahu apa yang akan berlaku kerana ada yang pihak yang kata baik dan lagi pula pihak lain yang kata bermasalah.

“Jadi kita akan cuba dahulu dan kita tengok hasilnya. Sekiranya menimbulkan masalah yang besar kita akan hentikan dan kembali kepada cadangan alternatif lain seperti diadakan hanya pada hari minggu sahaja atau sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mengulas mengenai tentangan daripada segelintir peniaga di sepanjang jalan berkenaan yang mahu menutup operasi mereka sebagai tanda protes terhadap langkah tersebut, Khalid berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan peniaga selepas ‘walkabout’ di kawasan berkenaan pada Selasa ini. - UTUSAN ONLINE