Baginda bertitah, selepas musim haji 1439 Hijrah, pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan jemaah dari Malaysia telah meninggalkan tempat yang bersih selepas selesai mengerjakan urusan haji.

“Budaya mengamalkan kebersihan hendaklah dijadikan sebahagian daripada komponen latihan serta diberikan penegasan dan bimbingan secara serius semasa jemaah mengikuti kursus di sini.

“Setiap jemaah hendaklah mengambil tanggungjawab bukan sekadar menjaga kebersihan, malah membantu untuk membersihkan bilik air, tandas, tempat makan dan tempat penginapan setelah digunakan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Kursus Perdana Haji peringkat negeri bagi musim haji 1440 Hijrah/2019 di Masjid Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin serta Pengurus Besar Simpanan dan Pengeluaran Tabung Haji, Mohd Riduan Wahi.

Lebih 2,700 bakal jemaah dari negeri Perak, berjaya mendapat tempat untuk mengerjakan haji pada kali ini.

Sultan Nazrin bertitah, selain pengutamaan kebersihan, jemaah Malaysia juga hendaklah memiliki azam untuk menjadi duta yang mengharumkan nama negara dalam segala aspek.

Baginda bertitah, ia termasuk dari aspek ibadah, pematuhan undang-undang dan peraturan, amanah, berdisiplin, menepati waktu, sabar, bertoleransi serta sedia membantu.

Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada Lembaga Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) atas perkhidmatan cemerlang yang telah dibuktikan sejak sekian lama.

Baginda bertitah, walaupun dilaporkan menghadapi cabaran besar berbentuk tadbir urus kewangan, namun ia tidak menjejaskan perkhidmatan Tabung Haji dengan terus mengekalkan segala kemudahan yang diperlukan demi keselesaan para jemaah.

“Hargailah perkhidmatan yang disediakan oleh Tabung Haji dan berikanlah segala kerjasama kepada kakitangan mereka,” titah baginda. - UTUSAN ONLINE