Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, penggunaan pistol pemedih mata itu merupakan satu langkah pencegahan yang berkesan sejajar dengan keperluan semasa dalam mengurus banduan di penjara.

“Jika kita lihat sekarang, senjata ini turut boleh digunakan ketika berlakunya pergaduhan dan rusuhan di penjara.

“Ia sekaligus mengurangkan risiko kecederaan pada individu yang kena tembakan itu,” katanya selepas menerima sumbangan lima unit Senjata “Less Lethal “ JPX Piexon daripada syarikat Fortress Defence Sdn Bhd pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2018 di sini, hari ini.

Zulkifli yang menerima senjata itu bagi pihak Jabatan Penjara berkata setakat ini pihaknya masih menggunakan senjata renjatan elektrik yang hanya boleh menembak satu individu sahaja pada satu-satu masa.

“ Tetapi dengan penggunaan Senjata “Less Lethal “ JPX Piexon ini, ia dilihat mampu dilepaskan tembakan sehingga pada empat individu dalam satu masa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fortress Defence Sdn Bhd, Carliff Ridzwan Carleel berkata senjata “Less Lethal “ JPX Piexon mengunakan cecair khas sebagai medium pengantara dan mampu menembak pada kelajuan 685 kilometer sejam sejauh 23 kaki.

Beliau berkata, mereka yang terkena tembakan senjata itu akan mengalami gangguan penglihatan sekaligus menyekat pergerakan mereka. - BERNAMA