Norhizan Ismail
NORHIZAN ISMAIL

Pengarahnya, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, pemberhentian sementara itu susulan tindakan seorang lelaki berusia 23 tahun mengamuk selepas permohonan isterinya untuk bersalin secara pembedahan ditolak.

“Pihak hospital mendapati tidak perlu untuk wanita berkenaan bersalin secara pembedahan kerana tiada indikasi.

“Lelaki berkenaan kemudian bertindak menumbuk dan merosakkan pintu bilik bersalin. Pihak pengawal keselamatan juga meminta suami pesakit untuk menunggu di luar selepas insiden berlaku tetapi tidak diendahkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Norhizan, pihak Hospital Sultanah Bahiyah mengambil tindakan untuk memberhentikan sementara kebenaran untuk menemani isteri bersalin bagi menyemak kembali prosedur kebenaran peneman kepada ibu-ibu bersalin agar kejadian sebegini tidak berulang.

“Pemberhentian sementara itu juga bagi membaiki kerosakan yang berlaku. Pihak hospital juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian ini.

“Lelaki berkenaan juga akan dipanggil untuk berbincang bagi mengenalpasti sekiranya terdapat sebarang masalah yang menyebabkan dia bertindak sedemikian,” ujarnya.

Dr. Norhizan memberitahu, ibu berkenaan bagaimanapun selamat melahirkan bayi keduanya secara normal dan mereka telah dibenarkan pulang.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar ahli keluarga kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sama ada di hospital mahupun klinik kerajaan untuk mengawal diri bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku. - UTUSAN ONLINE