Penyampaian cenderamata berupa tiga rencana bersiri tentang Allahyarham Dr. Ismail yang dihasilkan sempena Ulang Tahun Utusan ke-80 itu disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah syarikat, Datuk Ahmad Fauzi Zahari kepada anak arwah, Mohamed Tawfik.

Yang turut hadir ialah Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah; Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkiflee Bakar; Penolong Pengarang Rencana, Sahidan Jaafar serta ahli keluarga arwah yang lain.

Dalam majlis sama, Mohamed Tawfik menzahirkan penghargaan terima kasih kepada akhbar Utusan Malaysia atas kesudian menghasilkan rencana mengenai arwah bapanya yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein.

“Saya berbesar hati atas jemputan yang diberikan untuk memperingati jasa arwah bapa kepada negara. Apa yang dibuat oleh pihak Utusan Malaysia ini adalah perkara yang amat dihargai.

“Kebetulan keluarga saya dan Utusan Malaysia tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya memainkan peranan penting berhubung sejarah Tanah Melayu ketika dahulu,” katanya sempena Majlis Khas Penyerahan Cenderamata sempena Ulang Tahun Utusan ke-80 di sini hari ini.

Dr. Ismail pernah dilantik oleh Tun Abdul Razak menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada 1 September 1960 sehingga 21 Mei 1967 sebelum meninggalkan Kabinet atas sebab-sebab kesihatan. Beliau kemudian dilantik semula memegang jawatan itu pada 14 Mei 1969 berikutan peristiwa berdarah 13 Mei pada tahun tersebut.

Tun Abdul Razak mempengerusikan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan meminta beliau untuk menjadi Timbalan Pengarah Mageran (Mei 1969-Februari 1971). Beliau kembali menjawat jawatan Kabinet dan kekal sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri sehingga 1 Ogos 1973.

Negarawan itu juga merupakan duta pertama dari Malaysia ke Amerika Syarikat pada 1957 selain pernah diberikan pentauliahan menjadi duta negara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sehingga 1959.

Beberapa tempat di Kuala Lumpur dan Selangor telah dinamakan dengan Taman Tun Dr. Ismail sebagai memperingati jasanya kepada negara. - UTUSAN ONLINE