Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah berkata, rakyat dapat menilai pemimpin yang dipilih mereka menerusi pemilikan harta pada sebelum dan selepas menjadi wakil rakyat.

"Sekiranya, mahu (berdasarkan penilaian jumlah harta), rakyat boleh untuk terus memilih pemimpin itu," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya berhubung cadangannya untuk mewajibkan semua ADUN mengisytiharkan harta masing-masing kerana negeri-negeri berisiko menjadi lubuk rasuah.

Menurut Johari, sekiranya hendak dilaksanakan untuk mewajibkan ADUN-ADUN mengisytiharkan harta mereka, ia cukup dengan mengusulkan perkara itu di dalam DUN.

"Perkara ini tidak memerlukan enakmen atau undang-undang, cukup dengan persetujuan di peringkat DUN dengan perintah Speaker," katanya. - UTUSAN ONLINE