Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, akibat status tanah 
tersebut, petani di sini hidup dalam ketidaktentuan kerana TOL hanya laku 
dalam tempoh setahun sahaja.

Menurutnya, pekebun takut kerana ada tanah yang sudah lama 
diterokai tetapi hanya diberikan TOL untuk diusahakan.

"Kalau rakyat buat kerja, kerajaan mesti beri galakan dengan memberikan 
hak milik 99 tahun seperti yang dilaksanakan di negeri-negeri lain supaya 
mereka boleh memajukan lagi bidang pertanian.

"PRK Parlimen Cameron Highlands ini adalah masa, permulaannya untuk tukar 
kerajaan negeri yang kawal tanah-tanah di sini," katanya ketika ditemui 
di sini hari ini.

Untuk rekod, kerajaan negeri Pahang sehingga kini seluas 24,000.4 hektar tanah atau 3.3 peratus tanah di sini diberikan kepada pekebun melalui TOL untuk disahakan. 

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Koo Ham berkata, keadaan di sini berbeza dengan lain-lain kawasan kerana di sini tiada komposisi kaum disebabkan tiada kelompok kaum majoriti.

Menurutnya, ini merupakan tempat untuk PH menekankan mengenai politik di negara ini sudah melepasi sempadan kaum dan agama.

Katanya, sedangkan BN masih amalkan konsep calon yang berlandaskan kaum dan agama apabila meletakan Ramli Mohd. Nor sebagai calon pada PRK tersebut.

"Ramli seorang Islam, berketurunan Orang Asli dan difahamkan emaknya orang Melayu, itulah pertimbangan yang masih berlandaskan bangsa dan agama sebab itu BN minta MIC tidak bertanding.

"Jadi PRK ini merupakan peluang untuk rakyat melihat satu contoh pemimpin tanpa berlandaskan agama dan kaum negara dengan memilih calon PH," katanya. - UTUSAN ONLINE