Beliau mendakwa, terdapat pihak mengambil kesempatan dengan memanjangkan isu berkenaan, kononnya kerajaan hari ini tidak prihatin sehingga memansuhkan subsidi haji tanpa mengira orang susah dengan bermotifkan politik berbanding benar-benar ingin membantu masalah serta fasa rumit yang dilalui oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sekarang.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan bakal jemaah haji supaya tidak mempercayai perkara berkenaan yang ditularkan, apatah lagi ia mungkin dijadikan sentimen bagi meraih simpati dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

“Rayuan (haji) ini belum lagi dan surat pun tidak keluar lagi jadi bagaimana kita hendak buat keputusan, ia bukan muktamad maksudnya. Jadi siapa yang meuar-uarkan atau menularkan kenyataan kononnya dihapuskan (subsidi), itu satu kenyataan tidak betul sedangkan di peringkat TH pun belum muktamad.

“Saya tidak menyatakan apa-apa dalam kenyataan saya sebab kita belum keluarkan surat rayuan. Apabila sudah keluar surat, barulah kita tengok kes demi kes dan itulah pendirian kita hingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Tahun Baharu Cina di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Taman Tasek Jaya di sini yang masuk tahun kelima penganjurannya di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin dan Pengerusi Masjid Muhammadiah, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah.

Mujahid turut meminta supaya berita tidak betul itu tidak ditularkan kerana ia menimbulkan pelbagai keraguan, kesangsian serta rasa cemas dalam kalangan bakal jemaah haji khususnya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, mereka yang menerima surat untuk menunaikan haji mengikut giliran, perlu sendiri mengesahkan penerimaan untuk mengerjakan haji dengan memaklumkannya kepada pejabat TH.

“Perkara ini penting sebab apabila (tawaran) sudah ditolak, barulah rayuan masuk. Kalau dia tidak boleh pergi (menunaikan haji), dia sendiri kena tandatangan untuk maklumkan bahawa tidak boleh pergi.

“Mungkin ada dalam 1,000 ke 2,000 orang yang tidak boleh pergi, kadang-kadang lebih, jadi di situlah baru masuk fasa rayuan dan kita tengok kes demi kes, justeru tidak timbul isu kita potong subsidi,” katanya. - UTUSAN ONLINE