Presiden Peka, Datuk Paduka Zuhairi Ab. Kadir berkata, isunya adalah kebanyakan pekerja asing terbabit mempunyai majikan dan pernah memohon untuk memperbaharui permit kerja tetapi menjadi mangsa penipuan.

Katanya, bagi membantu menangani isu itu, Peka akan mengemukakan senarai nama pekerja asing terlibat untuk pertimbangan Menteri Dalam Negeri.

“Pekerja asing ini tidak boleh pergi sendiri menyambung permit kerana hanya majikan yang berhak, tetapi majikan pula bergantung harap pada ‘orang tengah’ untuk berbuat demikian kerana tidak tahu untuk menguruskan perkara tersebut selain mahu ambil jalan mudah.

“Sudahlah dikenakan caj yang mahal, pasport dan duit pun sudah diserahkan kepada orang tengah sebelum ini tetapi semuanya lesap. Lebih menyedihkan gaji pula dipotong oleh majikan sekali gus merugikan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuhairi berkata, isu kesukaran memperbaharui permit kerja itu perlu dikaji oleh Menteri Dalam Negeri bagi membantu orang yang teraniaya dan memecahkan kebuntuan mereka.

“Isu tamat sah laku permit kerja begitu serius kerana melibatkan undang-undang dan kebajikan pekerja yang boleh diabaikan. Ia juga sering disasarkan untuk dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Berapa lama lagi pekerja asing terbabit kena tunggu, ini kerana, mereka pada asalnya masuk ke negara ini secara sah dan mempunyai permit kerja, namun akhirnya menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana ditipu dan ia menyusahkan mereka,” katanya.

Jelasnya, Peka sedang mengumpul maklumat pihak yang membuat penipuan berhubung permit pekerja asing dan akan melaporkan supaya pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan segera. - UTUSAN ONLINE