Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata beliau akan mengumumkan prosedur bagi saluran kedua itu jika TNB masih gagal menguruskanya.

“Saya akan membuat pengumuman mengenai perkara ini dalam masa seminggu dua lagi selepas meneliti setiap perkara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa Parlimen Bakri malam tadi.

Yeo berkata beliau juga akan membuat semakan dengan TNB berkenaan dakwaan oleh pelanggan TNB bahawa bil elektrik mereka melambung tinggi selepas pengunaan meter pintar.

Dalam perkembangan lain, Yeo berkata beliau sedang berusaha mengubah budaya kerja lama penjawat awam di bawah kementeriannya agar dapat memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

“Saya ingin mengubah budaya kerja lama (agar amalan) semua kakitangan turun ke majlis dihadiri menteri tidak berlaku lagi* Sebelum ini ketika mula-mula menjadi menteri saya dapati lebih 80 peratus kakitangan hadir ke majlis saya.

“Selepas itu saya hanya cuba membenarkan kakitangan yang bertugas untuk majlis dan diperlukan saja menghadiri majlis menteri,” katanya.

Beliau berkata jika semua kakitangan ikut majlis menteri seperti yang diamalkan oleh kerajaan sebelum ini siapa yang akan uruskan pejabat.

“Saya bukan nak tengok muka siapa yang kerap turun ke majlis saya tetapi saya nak lihat prestasi kerja mereka dalam melaksana tugas yang diamanahkan oleh rakyat,” katanya. - BERNAMA