AZISMAN ALIAS
AZISMAN

Ketua Polis negeri, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya telah membuat perancangan awal daripada aspek keselamatan selepas mengambil kira kemelut sama yang berlaku pada 2008.

Dalam masa sama, beliau juga menasihatkan supaya isu tersebut dapat diselesaikan secara baik bagi mengelak nama negeri ini tercemar hanya disebabkan masalah di dalam parti politik.

“Daripada aspek keselamatan, kita sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Saya berharap selesailah secara baik (kepemimpinan BN negeri) dan jangan biarkan masalah ini berlarutan,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Kemelut Menteri Besar memasuki episod baharu apabila sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN tidak hadir pada majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Menteri Besar di Istana Arau, dipercayai kerana memboikot pelantikan Azlan.

Serentak dengan itu, dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan bahawa kesemua sembilan ADUN BN menolak pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar selain memaklumkan bahawa Timbalan Pengerusi BN negeri itu telah dipecat.

Sementara itu, Azisman memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menghina Institusi Diraja di laman sosial.

“Kita akan memantau perkara ini dan memberi nasihat kepada mereka dan sekiranya masih melampau, tindakan akan diambil,” katanya.- UTUSAN ONLINE