Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, hasil mesyuarat hampir dua jam hari ini bersama syarikat-syarikat berkenaan, iaitu Amroon, Allana, Al Quresh dan Al Noor masing-masing dari Mumbai dan New Delhi India memberikan jaminan bahawa kesemua pembekal tanpa mengira saiz syarikat akan mendapat bekalan daging masing-masing.

“Saya kira isu ini hampir 99 peratus selesai, sebab kita dah ‘pegang’ keempat-empat syarikat ini untuk sama-sama menghapuskan isu kartel ini.

“Tidak ada sesiapa yang boleh memonopoli import daging itu kini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pengeksport Daging Kerbau dari India di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini, hari ini.

Sehubungan itu sebanyak 195 syarikat yang telah mendapat kebenaran mengimport daging sejuk beku dari negara ini akan beroleh faedah daripada penyelesaian isu kartel ini. -UTUSAN ONLINE