Begitu penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berhubung tindakan individu tidak bertanggungjawab yang meletakkan satu patung berhala di Surau

Sabilul Huda di Pelabuhan Klang, Selangor semalam.

Mujahid menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang mengejutkan dan beliau bimbang boleh menimbulkan pelbagai persepsi buruk sehingga mencetuskan provokasi kepada

keharmonian antara agama serta kaum di negara ini.

Sehubungan itu, Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan dan mengambil tindakan segera terhadap pihak tidak

bertanggungjawab menimbulkan provokasi tersebut.

"Saya yakin pihak polis dapat siasat perkara ini dan pantas mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang hina Islam dengan tindakan provokasi ini.

"Saya harap peristiwa ini diambil iktibar. Jangan sesekali memainkan sensitiviti agama," tegas beliau menerusi satu rakaman video hari ini.

Semalam, jemaah Surau Sabilul Huda dan penduduk Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang dikejutkan dengan perbuatan biadab individu tidak bertanggungjawab yang meletakkan satu

patung berhala bersebelahan pintu masuk utama di surau berkenaan.

Patung itu disedari Siak Surau Sabilul Huda, Mohd. Yatim Omar kira-kira pukul 2.30 hingga 4 petang yang tiba untuk membuat persiapan solat Asar.

Dalam pada itu, Mujahid turut meminta pihak polis mengambil tindakan segera berhubung kejadian tembok Istana Anak Bukit di Kedah yang disimbah dengan cat semalam.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai mencemari institusi raja-raja Melayu yang boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang-orang Melayu.

"Ini yang paling kita khuatir bahawa ada pihak ambil kesempatan timbulkan provokasi sensitiviti terhadap institusi raja-raja Melayu yang kita sanjungi," jelas beliau. - UTUSAN ONLINE