Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kemudiannya cadangan akan dibuat kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta jemaah Menteri bagi melaksanakan siasatan terbuka yang diketuai oleh ahli professional berhubung perkara itu.

“Kementerian Kewangan juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyiasat isu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng sebelum ini mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ‘merompak’ bayaran balik GST bernilai RM18 bilion pada sesi membentangkan Rang Undang-Undang GST (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat.

Berikutan dakwaan itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin telah membuat laporan polis di Kuala Lumpur kelmarin.

Pada hari yang sama, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah menegaskan, tidak berlaku kehilangan wang daripada Tabung Amanah Bayaran balik GST kerana kesemua kutipan perlu dimasukkan dahulu ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam pula mendakwa kerajaan Pakatan Harapan mungkin sudah membelanjakan wang dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan yang sepatutnya digunakan untuk disalurkan kepada akaun amanah tuntutan GST bagi menampung perbelanjaan bulanan kerajaan.

Menjawab dakwaan Najib itu, Guan Eng berkata, tuduhan itu langsung tidak berasas serta menyimpang daripada kebenaran.

Jelas beliau, Kerajaan Pakatan Harapan tidak sepatutnya dikambinghitamkan atas salah laku yang dilakukan kerajaan sebelum ini kerana tidak melunaskan bayaran balik GST seperti

yang sepatutnya.

“Kekurangan RM18 bilion dalam pembayaran balik tidak dilakukan dalam masa satu bulan, tetapi ia tidak dilaksanakan sejak 1 April 2015 iaitu tiga tahun lalu. Tambahan pula, kekurangan RM18 bilion ini dicatatkan sehingga 31 Mei 2018.

“Bolehkah Najib membuktikan dakwaannya bahawa Kerajaan Pakatan Harapan telah membelanjakan RM18 bilion dalam masa tiga minggu sahaja dan sedangkan undang-undang yang diperlukan untuk membuat bayaran balik adalah dalam masa dua minggu?” soalnya. - UTUSAN ONLINE