Istiadat bermula kira-kira pukul 9.30 pagi dengan perarakan tujuh kenderaan khas diiringi paluan nobat dari pintu besar Istana Iskandariah ke jeti Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di tebing Sungai Perak.

Perarakan diketuai Toh Seri Nara Diraja Mohd. Shah Nong Chik terdiri daripada pasukan nobat diraja, lima panglima dan tujuh bentara-bentara bersama-sama beberapa pawang istana membawa perkakas istiadat dan 16 jejawat berlembing.

Perkakas istiadat yang dibawa termasuklah 16 Geluk Mas Perak dihiasi dengan daun-daun nyiur muda berjari lapan, bekas perasap, bekas beras kunyit, bekas beras basah, bekas tepung tawar, bekas air sintuk dan bekas air bunga panca bicara.

Setelah tiba di jeti MPKK, perkakas istiadat dibawa naik ke dalam bot dan sepanjang istiadat itu nobat dipalu oleh pasukan nobat diraja.

Raja Chik Muda Pawang Diraja, Toh Seri Nara Diraja dan bentara-bentara kemudiannya menaiki bot dan mula mengambil air bermula di Kuala Sungai Kangsar.

Sebanyak 15 bot termasuk lapan bot pengiring menyertai istiadat mengambil air dari tujuh kuala su­ngai tersebut.

Walau bagaimanapun, untuk upa­cara berkenaan, panglima-panglima, jejawat berlembing serta pasukan nobat diraja tidak mengikuti bersama rombongan istiadat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Adat Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35, Orang Kaya Temenggong Paduka Raja Datuk Seri Wan Mohd. Fathir @Wan Fadzir Wan Hussain berkata, istiadat mengambil air tersebut kemudiannya di­ikuti di Sungai Chempias, Sungai Saiong, Sungai Itam, Sungai Chermin, Sungai Buaia dan berakhir di Sungai Menora.

“Alhamdulillah, dalam masa dua jam lebih istiadat ini berjaya disempurnakan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

“Tugas mengambil air ini dise­rahkan kepada Toh Seri Nara Diraja dan Pawang Diraja. Air yang dimasukkan dalam geluk ini kemudiannya dibawa ke istana untuk acara bersiram tabal pada malam ini di Istana Iskandariah,” katanya.

Menurut beliau, istiadat mengambil air dari tujuh kuala sungai di sekitar Sungai Perak itu bermula selepas pucuk pemerintahan Kesultanan Perak beralih ke daerah tersebut.Jelasnya, pada zaman Kesultanan Melayu Perak yang pertama, air yang digunakan untuk Istiadat Bersiram Tabal diambil di sekitar kawasan Tanah Abang di kawasan Bagan Datoh.

“Tidak ada pantang larang ter­tentu semasa istiadat ini tetapi banyak kepada doa-doa mengikut hukum Islam.

“Kesemua air yang diambil itu akan dimasukkan ke dalam geluk dan dibawa naik ke Panca Persada untuk disimpan bagi Istiadat Bersiram Tabal yang akan berlangsung pada pukul 8.30 malam ini di Istana Iskandariah,” katanya.