Baginda bertitah, dalam suasana menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), istana sentiasa akur kepada kehendak rakyat, selaras dengan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan yang diguna pakai di negara ini.

"Beta ingin menekankan kepada semua pihak bahawa istana berkecuali dalam persaingan politik yang wujud dalam kalangan rakyat. Istana merentasi semua agama, parti politik dan warna kulit.

"Istana tidak memihak atau memberi sokongan kepada parti A atau parti B. (Sebaliknya) Istana hanya berpihak kepada Perlembagaan dan undang-undang yang dilaksanakan secara adil dan saksama," titah baginda.

Demikian titah baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Muhibbah Bersama Masyarakat Cina dan Siam di Darul Abrar, Masjid Lama Kubang Gajah di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) One Centre Malaysia, Zamri Vinoth.

Turut hadir Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan CEO MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Program anjuran One Centre Malaysia itu dijalankan dengan kerjasama MAIPs.

Tuanku Syed Faizuddin Putra seterusnya bertitah, kewajipan istana adalah untuk membimbing rakyat kepada kesantunan budi dan keluhuran adat yang mulia.

Titah baginda, istana juga pada setiap masa berperanan memberi nasihat kepada kerajaan dan pentadbirannya untuk berlaku adil dan saksama kepada semua rakyat, tanpa mengira fahaman politik.

"Ini termasuk melaksanakan program yang meninggikan maruah dan harga diri rakyat. Kepimpinan istana ialah untuk semua rakyat secara saksama," titah baginda. - UTUSAN ONLINE