Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menegaskan, jangan di atas dasar pegangan politik masing-masing, mereka sanggup meletakkan isu agama sebagai modal politik.

"Kalau hendak nak ambil dua tiga isu untuk mengambarkan keseluruhan kegagalan (Islam terancam), bagi saya itu sudah melampau.

"Ini lebih politik daripada kenyataan, jadi kita akan jawab ini dengan program-program diadakan. Saya sendiri sudah pusing ke seluruh negara bagi menjelaskan isu dan dasar pentadbiran Islam kepada orang ramai," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Halal Fun Run di sini hari ini.

Tambah Mujahid lagi, sudah sememangnya pembangkang selama ini menguar-uarkan bahawa Islam terancam di bawah PH, namun mereka gagal memperincikan bentuk ancaman itu.

"Kalau dimaksudkan terancam itu hanya dialaskan kerana DAP, maka hebatlah DAP sampai Islam boleh terancam.

"Sedangkan kami di Kabinet, segala keputusan dibahas dan dibincangkan mengikut kaedah dan tiada isu yang dianggap terancam," katanya.

Sehubungan itu, Mujahid meminta pembangkang agar tidak keliru sama ada mereka sendiri terancam sehingga timbul dakwaan bahawa Islam juga terjejas dan perkara ini tidak sama sekali berlaku.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dalam satu wawancara semalam yang mendakwa Islam terancam di bawah kerajaan PH.

Sementara itu, Mujahid memaklumkan kerajaan akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berkaitan kemasukan penceramah luar untuk berceramah dalam negara ini.

Katanya lagi, Kabinet sebelum ini juga sudah bersetuju bahawa kehadiran penceramah berkenaan mestilah mengikut syarat yang ditetapkan.

Beliau diminta mengulas mengenai isu membabitkan tokoh pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik. - UTUSAN ONLINE