Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, 45 daripada 281 program yang diluluskan di bawah Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon (LCS) wilayah itu sudahpun dilaksanakan hingga tahun ini.

“Di Iskandar Malaysia, kami perlu mengimbangi pelbagai permintaan dalam mencorak pembangunan, dengan perlindungan serta pemuliharaan aset alam sekitarnya sebagai salah satu tema utama dalam Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia yang terkini.

“Sudah tentu kita tidak boleh menghentikan pembangunan semata-mata demi memelihara alam sekitar, tetapi apa yang kita boleh pastikan ialah pembangunan itu dilaksanakan secara mapan dan menerusi perancangan pemuliharaan yang teliti,” katanya semasa menyampaikan ucapan pembukaan acara sampingan ‘Sustainable Iskandar Malaysia’ sempena Conference of Parties 23 (COP23) di Bonn, Jerman hari ini.

Yang turut menyertai beliau dalam delegasi negeri Johor ke Jerman ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Mohamed Khaled berkata, semua langkah yang diambil turut selari dengan Dasar Kelestarian Negeri Johor serta akan memacu lagi Bandaraya Johor Bahru yang diiktiraf sebagai bandaraya ketiga terbaik di Asia Tenggara menurut kajian Kedudukan Kualiti Kehidupan Mercer 2017. - UTUSAN ONLINE