Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan yang menukar EAIC kepada suruhanjaya bebas bagi memastikan keadilan kepada semua pihak dapat dicapai.

“Kita mahu lihat bagaimana pelaksanaannya akan dilakukan dan positif dengan keputusan kerajaan yang sudah mengambil kira kepentingan semua pihak yang berkaitan.

“Keputusan ini disambut dengan baik. Kita akan pastikan anggota kita terbela di samping memberikan perkhidmatan yang baik kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Negara di Setapak di sini hari ini.

Menurut Noor Rashid, pihaknya berharap kerajaan juga dapat mempertimbangkan supaya PDRM diberikan peruntukan untuk memperkukuhkan perkhidmatan kerana berkait rapat dengan peningkatan keupayaan.

“Kita sudah memohon kepada kerajaan untuk melihat dari segi peruntukan latihan supaya kita dapat memperbanyakkan latihan dan memperluaskannya kepada seluruh warga PDRM.

“Ini sekali gus dapat memperhebatkan kecekapan warga PDRM yang mampu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua pihak,” ujarnya.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra, Putrajaya dekat sini hari ini berkata, kerajaan bersetuju supaya EAIC diperkasakan dan dikenali sebagai IPCMC.

Katanya, suruhanjaya itu akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.- UTUSAN ONLINE