Sehubungan itu, PPIM menggesa rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira pegangan politik, bangsa dan agama untuk berdiri teguh menolak penyertaan atlet Israel memasuki negara ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan menghalang dua atlet zionis itu telah menunjukkan kepada dunia, Malaysia bukanlah negara yang akan tunduk dengan tekanan kuasa besar.

“PPIM ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed kerana tegas dalam pendiriannya

tidak membenarkan perenang Israel memasuki negara ini.

“Ini bukan soal kita rasis, anti-yahudi atau anti-semitik, tetapi Malaysia berpegang teguh mengutuk segala perbuatan zalim Israel terhadap penduduk Palestine,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dua minggu lalu, Dr. Mahathir menegaskan atlet Israel tidak dibenarkan hadir ke negara bagi bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan dan sekiranya berdegil ia adalah satu kesalahan.

Ketegasan kerajaan itu membuatkan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran Malaysia. - UTUSAN ONLINE