Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, buat masa ini pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung perkara itu.

Beliau memberitahu, langkah itu penting memandangkan terdapat 25 peratus atau kira-kira 400,000 orang daripada kesemua 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara mengalami tekanan.

Jelasnya, jumlah paling tinggi dirundung masalah itu ialah di Kementerian Kesihatan selain Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan serta agensi keselamatan negara.

“Intan harus ajar subjek psikologi kepada perkhidmatan awam terutama pegawai tinggi kerajaan kerana ada anggota kerajaan yang menghadapi stress (tertekan) yang sangat tinggi sehingga membawa kepada kemurungan.

“Sebab itu kita perlu mempunyai pegawai yang cukup untuk mereka dilatih sebagai pegawai psikologi atau kaunseling untuk bentuk sahsiah diri,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita dalam majlis penyerahan sumbangan bantuan implan kaki kepada anak angkat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Nurul Nadirah Anuar, 14, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE