Ahmad Shabery Cheek
Ahmad Shabery Cheek

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pem­ba­ngunan sistem insurans merupakan satu inisiatif penting yang difikirkan kerajaan bagi menjamin kebajikan golongan tersebut meliputi semua sektor pertanian se­perti pesawah, penternak, ­nelayan dan sebagainya.

Pembangunan sistem itu jelas beliau, turut melibatkan penelitian terhadap sistem yang diguna pakai di negara-negara lain ketika ini.

“Justeru, kita hendak cari satu skim insurans khususnya untuk melindungi mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar di Parit 12 Gambut, Sungai Panjang, di sini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi.

Mungkin sistem itu kata ­Ahmad Shabery, sebahagian premiumnya dibayar oleh kerajaan manakala sebahagian lagi dibayar oleh para petani.

Dalam perkembangan lain, be­liau turut memaklumkan rancangan kementerian untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada 3,300 pesawah di kawasan barat laut Selangor yang ketika ini sedang berhadapan kemerosotan hasil padi akibat serangan penya­kit Hawar Daun Bakteria (BLB).

Menurutnya, buat masa ini pihaknya sedang meneliti jumlah kerugian sebenar yang dihadapi pesawah yang terlibat termasuklah bentuk bantuan yang akan diberikan bagi musim tanaman pada April ini.

Bagaimanapun, beliau me­ngakui masalah BLB di kawasan berkenaan bukanlah satu perkara yang kecil kerana ia melibatkan keluasan sawah melebihi 3,116 hektar manakala anggaran bantuan kewangan kira-kira RM3.7 juta.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ketika ini sedang membuat kajian terperinci mencari kaedah terbaik bagi mengelakkan masalah tersebut berulang.