Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Aini Ideris berkata, InnoHub ditubuhkan bertujuan untuk menjalankan validasi pasaran bagi teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Dengan adanya inovasi seperti ini, ia dapat membuktikan bahawa setiap masalah pengguna dan pembeli pasti ada penyelesaiannya.

"Banyak produk yang dihasilkan oleh kami yang boleh dibeli secara online seperti Lazada," katanya ketika memberi ucapan di Auditorium Rashdan Baba, di sini hari ini.

Tambah Aini, InnoHub telah melahirkan pekerjaan baharu melebihi 50 modal insan (sebagai usahawan teknologi) yang mampu menerajui perniagaan.

Sementara itu, majlis ini juga meraikan penyerahan replika cek pemberi dana InnoHub daripada empat agensi utama iaitu, Malaysia Technology Development Corporation, PlaTCOM Ventures Sdn Bhd, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Cradle Fund Sdn Bhd.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md. Yusof ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran daripada Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan, Cik Normah Awang, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr. Zulkifli Idrus, Pengarah Putra Science Park, Dr. Samsilah Roslan, Wakil-wakil Agensi, Pegawai-Pegawai Kanan UPM dan Para Usahawan Teknologi InnoHub

Program InnoHub ini merupakan satu program yang komprehensif, merangkumi kajian validasi pasaran, pembangunan kanvas perniagaan dan yang paling utama adalah sesi `pitching' kepada pemberi dana atau pelabur agar perniagaan yang telah dibangunkan dapat direalisasikan. - UTUSAN ONLINE