Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata, proses yang dijangka mengambil masa kira-kira sebulan itu juga bagi mengelak timbul isu-isu lain di kemudian hari.


“Malah, tiada isu proses ini dilambat-lambatkan kerana ia kes nasional, isu yang harus ditangani dengan teliti dan mengikut prosedur.


“Ini kerana kita tidak mahu ada ruang-ruang lompong yang kita tidak ambil kira dan menjadi satu isu lain pula nanti,” katanya selepas menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Adib di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini hari ini.


Akhir bulan lalu, Peguam Cara Negara III, Datuk Mohd. Hanafiah Zakaria berkata, pengurusan kes inkues untuk menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib yang meninggal dunia pada 17 Disember lalu ditetapkan pada 18 Januari ini.


Dalam perkembangan sama, Zuraida berkata, beliau dimaklumkan beberapa saksi baharu akan tampil membantu siasatan dalam inkues berkenaan selepas kira-kira 20 individu memberi keterangan kepada pegawai penyiasat sebelum ini.


“Saya tidak pasti berapa angka terkini, tetapi apapun semua terlibat datang ke depan untuk menjadi saksi kepada kematian arwah. Alhamdulillah telah dapat kita hubungi (saksi) untuk tampil memberikan maklumat.


“Semua doktor pakar dan forensik yang merawat serta melakukan bedah siasat terhadap Muhammad Adib juga akan dipanggil untuk memberi keterangan pada inkues itu kelak,” ujarnya,


Zuraida pada masa sama berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan dengan mempolemikkan isu berkenaan.


“Kes ini adalah kes seorang anggota bomba meninggal dunia dalam insiden rusuhan dan telah menjadi wira negara serta harus diberikan keadilan dalam penyiasatan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE