Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata, walaupun harga minyak dunia telah melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 17 bulan pada Disember tahun lepas hasil daripada kata sepakat anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC untuk mengurangkan pengeluaran minyak dan gas, harga minyak dunia dijangka terus berada dalam keadaan tidak menentu.

"Walaupun pelbagai cabaran akan diharungi pada 2017, kerajaan dengan kerjasama sektor swasta akan terus berusaha untuk menjamin keteguhan infrastruktur tenaga Malaysia," katanya dalam Laporan Tahunan 2016 Transformasi Nasional yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, pada masa sama, usaha ke arah penetapan harga berdasarkan mekanisme pasaran dan mempelbagaikan sumber tenaga negara akan kekal menjadi sebahagian daripada agenda kerajaan.

"Tahun 2017 juga akan menyaksikan pelaksanaan akses pihak ketiga (TPA) dan lengkapnya pembinaan terminal regasifikasi kedua di Semenanjung Malaysia, iaitu di Pengerang, Johor," katanya.

Katanya TPA, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif liberalisasi pasaran gas, akan membolehkan pihak ketiga untuk mengakses dan mengguna rangkaian kemudahan regasifikasi (import LNG) , penghantaran dan pengedaran gas asli.

Pemandu berkata, perkembangan ekonomi negara yang berterusan dijangka akan mencetus peningkatan permintaan untuk gas asli yang kini menyumbang lebih 40 peratus penjanaan elektrik negara.

"Perkembangan ini memerlukan bekalan gas yang bersifat stabil, selamat dan pelbagai daripada sumber dalam dan luar negara. Pasaran gas yang kukuh akan menjadi pemangkin industri baharu, lantas mewujudkan sumber pendapatan baharu untuk negara," katanya.

Industri minyak, gas dan tenaga menyumbang 14.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar dan RM179.7 bilion kepada pendapatan negara kasar serta menjana RM411.5 bilion pelaburan pada tahun lepas.

Hasil minyak dan gas juga menyumbang 14.7 peratus kepada pendapatan kerajaan pada tahun sama. - Bernama