Pengarang Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Abd. Wahab Ibrahim berkata, usaha membangunkan ekonomi tersebut perlu dilakukan de­ngan memastikan dana pembangunan buku dan seni tempatan bergerak dalam kalangan pemain industri.

“Bermula daripada penerbit, pengedar, penjual, penulis dan pembaca kerana apabila dana bergerak dalam kalangan semua yang terlibat, maka industri akan membangun seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi sihat.

“Jika semua ini dijaga rapi, maka selagi ada bulan dan bintang selagi itulah industri buku tanah air terus mapan,” katanya yang juga Pengerusi 1 Jawatankuasa Pe­ngelola PABKL 2019 kepada Utusan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Zainal Rashid Ahmad dalam Mingguan Malaysia hari ini menulis, industri buku negara ibarat berada dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi sekalipun sudah hampir mati, kerajaan tetap tidak peduli.

Sementara itu, Abd. Wahab memberitahu, sejak Jumaat lalu, jumlah pengunjung PABKL meningkat iaitu 41,000 pengunjung pada hari pertama manakala 56,000 hari kedua.

Kata beliau, terdapat beberapa faktor peningkatan tersebut antaranya kuasa membeli dan tempoh penganjuran PABKL.

‘‘Tahun ini kita anjurkan PABKL lebih awal untuk elak bulan Ramadan dan situasi sangat berbeza apabila kunju­ngan meningkat walaupun cuti sekolah.

‘‘Selalunya cuti sekolah, orang balik kampung dan tidak ramai di Kuala Lumpur tapi keadaan berbeza tahun ini,’’ kata beliau.