AHMAD AZIM OTHMAN
AHMAD AZIM

Pengarah Urusan Syarikat Muda Osman (SMO) Sdn. Bhd., Ahmad Azim Othman berkata, selaku syarikat peruncit, pihaknya melihat masyarakat berterusan membeli buku versi cetak dengan syarat naskhah yang dihasilkan bermutu.

"Dahulu semasa ada baucer buku, penerbit berlumba keluarkan buku pelbagai tajuk dan genre tanpa mengira kualiti, buku-buku begini sudah tentu tidak laku tetapi yang bermutu tetap laris.

"Hakikatnya peminat buku lebih menggemari buku versi cetak berbanding buku elektronik dan fenomena ini turut berlaku di negara Barat.

"Industri buku cetak kini meningkat naik semula di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah malah syarikat pemasar buku elektronik tersohor, Amazon.com turut menawarkan jualan buku versi cetak," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Azim, SMO Sdn. Bhd. yang ditubuhkan sejak awal dekad 40-an kini mempunyai 24 cawangan termasuk di Pahang, Selangor dan Putrajaya.

Beliau berkata, pihaknya tetap optimis dengan industri buku tempatan malah merancang membuka tiga cawangan lagi dalam tempoh dua tahun ini. - UTUSAN ONLINE