Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha untuk mewujudkan indeks itu telah dimulakan terma­suk mendapatkan kerjasama daripada beberapa agensi.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL 

“Semalam dalam mesyuarat bersama Kementerian Kewangan dan kementerian saya, perkara itu ada dibincangkan kerana ukuran yang kita guna pakai sekarang adalah ukuran Indeks Harga Pengguna (IHP).

“Kita menganggap ukuran itu seperti tidak memberikan gambaran sebenar kepada apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut 108 warga kerja di bawah kementerian itu menerima APC bagi tahun 2018 termasuk kakitangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kakitangan Perbadanan Harta Interlek Malaysia (MyIPO) serta kakitangan Suruhanjaya Persai­ngan Malaysia (MyCC).

Yang hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Muez Abd. Aziz.

Jelas Saifuddin Nasution, walaupun IHP yang diguna pakai ketika ini rendah namun tidak dirasai dalam kehidupan sebenar rakyat.

“Kita berpendapat ada keperluan untuk mengadakan satu indeks yang tujuannya benar-benar boleh memberikan cerminan tentang ukuran harga barang atau kos hidup.

“Usaha itu sudah bermula, sudah tentu akan membabitkan Jabatan Perangkaan termasuk juga Khazanah Research Institute, MyCC serta beberapa agensi lain,” katanya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini berkata, kerajaan merancang mewujudkan indeks untuk mengukur kos sara hidup bagi membantu majikan menentukan kenaikan gaji yang bersesuaian.