Bagi lebih 1,000 pemilik perumahan berkenaan, mereka bagaikan ‘tertipu’ selepas menerima kunci rumah berkenaan pada Jun lalu apabila kediaman yang diserahkan oleh pemaju tidak sempurna kerana terdapat pelbagai kerosakan dan gagal dibaiki sehingga sekarang.

Menurut Timbalan Pe­ngerusi Persatuan Penduduk PPA1M Pudina, Azhar Hassan, antara masalah dihadapi termasuk kerosakan lif, bumbung kediaman bocor, alat pencegahan kebakaran tidak berfungsi serta keselamatan ba­ngunan diragui.

“Kami sudah mengadakan pertemuan dengan pemaju berhubung perkara ini, namun mereka seolah-olah lepas ta­ngan dan tidak mengambil tindakan serius.

“Terus terang saya katakan, kami semua pemilik tidak berpuas hati dengan hasil kerja pemaju. Lebih 90 peratus rumah diserahkan mempunyai kerosakan malah paling ketara ialah tidak mempunyai pintu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Menurut Azhar, sebelum ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberi tempoh 30 hari kepada pemaju membaiki segala kerosakan dan meningkatkan tahap keselamatan, namun belum ada tindakan daripada pemaju.

“Kami seolah-olah menggadaikan nyawa menggunakan lif terutama di blok E. Kebanyakan besi penghadang di beranda hanya tunggu ma­sa untuk jatuh kerana struktur tidak kuat,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik kediaman berkenaan, Rosmawati Ibrahim berkata, dia berdepan masalah memasuki rumah baharunya itu kerana terdapat kerosakan teruk selain tidak mempunyai tapak meletak kenderaan seperti ditandatangani dalam dokumen perjanjian jual beli rumah.

“Rumah saya banyak yang rosak, pintu juga tidak bo­leh ditutup kerana bingkainya tidak sama. Pemaju pada Ogos lalu berjanji membaikinya namun sehingga sekarang keadaan masih sama. Sampai bila kami semua kena tunggu?” soalnya.

Dalam pada itu, seorang lagi pemilik, Noor Azlina Saadin berharap kerajaan campur tangan menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana situasi tersebut telah lama berlarutan.