Bacaan lafaz ikrar itu diketuai Pengarahnya, Mohd. Amir Othman dengan disaksikan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Pengarah SPRM negeri, Yaacop Angah di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini.


Lafaz IBR Jabatan Imigresen dimulakan di ibu pejabat agensi itu pada 8 Ogos lalu oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali sebelum diikuti Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Labuan pada keesokannya.


Abdul Halim dalam sidang akhbarnya selepas itu mahukan kesemua 14,900 warga jabatan tersebut yang sudah melafazkan IBR supaya menghayatinya di dalam jiwa dan bukannya sekadar di mulut.


“Pucuk pimpinan Jabatan Imigresen serius bagi memastikan kesemua warganya termasuk di negeri-negeri mempunyai integriti yang tinggi.


“Kita akui wujud seorang dua yang terlibat rasuah tetapi mereka ini kita akan pastikan tiada tempat (dibuang) dalam jabatan (Imigresen),” tegas beliau.


Dalam pada itu, beliau memberitahu, Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini yang baru beroperasi baru-baru ini dan turut menempatkan Jabatan Imigresen negeri, unik kerana orang ramai boleh menjalankan pelbagai urusan di bawah satu bumbung.


“Ini bermakna jika ke kaunter Jabatan Imigresen, bukan sahaja boleh memohon pasport antarabangsa tetapi juga urusan agensi lain seperti MyKad dan perbaharui lesen memandu,” katanya.


Tambah beliau, sehingga kini, Jabatan Imigresen telah mengeluarkan sebanyak 600 keping pasport antarabangsa dan 1,637 pas sempadan. - UTUSAN ONLINE