MOHAMED NAZRI AZIZ
MOHAMED NAZRI AZIZ

Menteri Pelanco­ngan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menjelaskan, arahan itu juga dikeluarkan memandangkan sistem pemantauan lesen khas umrah itu tidak selari dengan kemahuan beliau.

Menurutnya, perkara itu berlaku apabila ada pihak dalam kementerian yang salah faham de­ngan hasrat serta apa yang beliau mahu laksanakan.

“Ketika menggulung bajet kementerian di Parlimen, saya be­ritahu untuk melaksanakan sistem tersebut sepatutnya RM40, termasuklah pemprosesan dan insurans.

“Sistem itu juga bukanlah wajib, tetapi adalah secara pilihan memandangkan dilaksanakan oleh pihak swasta. Oleh itu, sesiapa yang ingin gunakan sistem berkenaan, perlu bayar RM40, kalau tidak mahu guna, tidak perlu bayar,” katanya di sini hari ini.

Mohamed Nazri ketika ini dalam rangka lawatan kerja di Jerman.

Pada Jumaat lalu, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan pelaksanaan Imams yang merupakan akses rasmi tunggal permohonan visa umrah untuk diproses Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

Sistem itu pada asalnya bertujuan menangani masalah peni­puan jemaah umrah yang sema­kin menjadi-jadi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Caj keseluruhan bagi penggunaan sistem Imams adalah sebanyak RM90.10 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM5.10 dan perlu dimasukkan dalam harga pakej umrah sedia ada untuk setiap jemaah.

Berikutan pengumuman itu, banyak pihak tampil menyatakan bantahan pelaksanaannya termasuklah Pemuda UMNO yang disuarakan melalui exconya, Nazir Hussin Akhtar Hussin yang menyifatkan sistem itu sebagai bukan kaedah terbaik.

Desakan demi desakan daripada pelbagai pihak menyaksikan sistem itu akhirnya dibatalkan pelaksanaannya serta-merta semalam, sehari selepas diumumkan.

Mas Ermieyati juga membe­ritahu, satu kaedah baharu bagi menangani masalah penipuan jemaah umrah akan diperkenalkan berikutan pembatalan sistem Imams itu.