Menurut kenyataan yang dikeluarkan agensi itu hari ini, sebaliknya ikan-ikan tersebut adalah untuk dijadikan baja ikan bagi kegunaan tanaman atau pun kepada kilang pemprosesan serbuk ikan.

Kata kenyataan itu, ikan-ikan yang dikeringkan tersebut adalah sebahagian daripada hasil tangkapan ikan bilis mengunakan bot konvensional pukat jerut bilis Zon A.

"Semasa proses penangkapan ikan bilis, terdapat ikan kasar sebagai contoh ikan tamban, ikan kembong dan lain-lain ikan yang turut sama ditangkap bersama ikan bilis.

"Ikan-ikan yang dikeringkan ini hanyalah salah satu sumber pendapatan tambahan berdasarkan lebihan hasil tangkapan dan bukannya industri utama," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu sebagai mengulas pendedahan satu laporan media semalam, berhubung tahap kebersihan sebuah tempat

pemprosesan ikan kering di Langkawi.

Berdasarkan satu rakaman video, ia menunjukkan enam ekor anjing didapati telah menjilat, memijak dan memakan ikan kering tersebut yang dijemur di atas kanvas.

Tambah kenyataan tersebut lagi, hasil pemeriksaan mendapati industri utama di kawasan berkenaan adalah pemprosesan ikan bilis dan para pengusaha di situ menggunakan mesin untuk mengeringkan ikan.

"Penggunaan mesin pengering bagi industri bilis Langkawi adalah diguna pakai di seluruh pulau itu dan juga Tanjung Dawai.

"Penggunaan mesin ini adalah lebih efektif, selamat dan tidak dipengaruhi faktor cuaca," ujar kenyataan tersebut.

Kenyataan itu seterusnya menasihatkan supaya pihak industri terlibat agar sentiasa mematuhi semua prosedur yang ditetapkan dan menjaga kebersihan serta menghubungi agensi yang berkaitan sekiranya memerlukan matlumat lanjut. - UTUSAN ONLINE