KUALA LUMPUR 19 Nov. - Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) menggesa supaya Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik memohon maaf atas tuduhan penyelewengan bekalan susu menerusi Program Susu 1Malaysia (PS1M) 2017.
Presidennya, Mohd. Azizee Hasan berkata, Maszlee juga wajar memperjelaskan serta membetulkan kenyataan dikeluarkannya berikutan terdapat percanggahan maklumat berhubung pembekalan susu selain berusaha untuk menangani isu berkenaan dengan sebaiknya.
Ini kerana, katanya, isu tersebut melibatkan pembangunan pendidikan murid dan dikhuatiri akan mengakibatkan tergendala perancangan terdahulu sekali gus menjejaskan penerima yang sepatutnya menerima bekalan bantuan tersebut.
“Data itu adalah berdasarkan Kementerian Pendidikan dan mungkin terdapat kesilapan dalam rekod atau Menterinya sendiri tersilap membuat kenyataan. Ini kerana ada guru besar mengakui menerima bekalan susu berkenaan.
“Oleh itu, kalau kenyataan Menteri silap, beliau perlu membuat permohonan maaf dan sekiranya kesalahan itu daripada pihak kementerian dalam rekod serta memberi data, maka tindakan sewajarnya perlu diambil. Bantuan tersebut untuk anak-anak golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Azizee turut mendesak supaya kajian menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti masalah sebenar sekali gus membolehkan tindakan yang sepatutnya diambil demi memperbaiki jika terdapat isu berbangkit.
Malah, beliau turut mencadangkan supaya Maszlee mendapatkan maklumat terus daripada akar umbi bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Mingguan Malaysia semalam mendedahkan bahawa dakwaan Maszlee berhubung penyelewengan bekalan susu PS1M adalah tidak berasas berikutan lima syarikat yang dilantik bagi tujuan pembekalan susu tersebut telah menghantar kesemua minuman bantuan itu kepada lebih 7,000 sekolah terlibat bermula Ogos hingga Oktober tahun lalu.
Malah, kesemua proses tersebut mempunyai dokumen lengkap daripada surat setuju terima (SST) kerja pembekalan sehingga ke surat akuan penerimaan (SAP) termasuk invois tuntutan pembayaran.
Selasa lalu, Maszlee mendakwa PS1M 2017 gagal dan bekalan susu hilang selama setahun selain memaklumkan bekas Menteri Pendidikan ‘tidak tahu’ tentang pengagihan susu berkenaan.