Presidennya, Mohd. Azizee Hasan berkata, keadaan diburukkan lagi apabila terdapat 3,392 graduan yang ditemu duga pada April lalu masih belum menerima keputusannya.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan perlu segera mencari jalan penyelesaian memandangkan masalah ini membabitkan masa depan siswazah yang terlibat.

"Seeloknya siswazah ini ditempatkan secara sementara sebagai guru interim dan pembantu guru dengan jaminan akan dilantik sebagai guru tetap dalam tempoh beberapa tahun.

"Pihak kami juga mencadangkan supaya siswazah Pendidikan Awal Kanak-kanak diambil sebagai guru di taska yang akan ditubuhkan di setiap agensi kerajaan, seperti yang dicadangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas iGuru mengadakan pertemuan bersama wakil Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) di pejabatnya di Nilai, Negeri Sembilan, hari ini.

Bulan lalu, Utusan Malaysia mendedahkan terdapat kira-kira 6,500 siswazah pendidikan yang masih belum ditempatkan sebagai guru di sekolah-sekolah.

Walau bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik memaklumkan bahawa masalah tersebut sudah berada dalam pemerhatiannya dan penyelesaian akan diumumkan apabila kajian selesai. - UTUSAN ONLINE