Berkata kepada Utusan Online, Ifa menjelaskan dia sangat terkejut dengan kenyataan Roslan yang juga merupakan rakan baiknya selama 21 tahun dalam industri hiburan tanah air.

"Bayangkan betapa lama kami berkawan, tak sangka begini pula jadinya. Tak tergamak saya sampai sanggup nak mengupah pembunuh upahan untuk menembaknya walaupun diakui ada perselisihan faham antara kami.

"Tuduhannya itu melampau seolah-olah saya seorang penjenayah besar. Malah saya pun sudah sejuk hati terhadap persengketaan yang berlaku sebelum ini," katanya dalam nada sebak.

Ifa berkata demikian usai memberikan kerjasama terhadap siasatan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.

Terdahulu, Roslan pagi tadi telah membuat satu laporan polis di Johor Bahru, Johor yang mendakwa Ifa mengugut untuk membunuhnya.

Laporan itu dibuat berdasar sebuah klip video yang telah dimuat naik di media sosial memperlihatkan pembantu peribadi Ifa dikenali dengan nama Bob bergelak tawa sambil membuat bunyi ala tembakan.

"Rakaman itu adalah gurauan Bob terhadap Roslan. Takkanlah itupun nak ambil serius. Bukannya dia tak kenal Bob malah sangat rapat. Sebab itu saya terkejut," tambahnya.

Justeru, Ifa telah dihubungi pegawai penyiasat dari IPD Sentul untuk memberi keterangan ke atas laporan yang dibuat oleh Roslan.

Ifa menambah, dia turut membuat satu laporan polis berhubung tuduhan itu sebagai langkah berjaga-jaga setelah mendapat nasihat daripada Presiden Seniman, Zed Zaidi. - UTUSAN ONLINE