Namun, tanggungjawab untuk memastikan aspirasi tersebut tercapai bukan terletak di bahu Kementerian Pendidikan semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan kementerian lain, agensi kerajaan, pihak swasta dan universiti.

Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia, Datuk Mohamed Sabri Mohd. Arsad berkata, TN50 adalah satu rangka nasional bagi membina kehidupan rakyat Malaysia untuk tempoh 30 tahun akan datang.

“Perlu diakui bahawa warga pendidik merupakan medium terpenting untuk membentuk generasi baharu dan mereka memainkan peranan itu sejak prasekolah hingga ke peringkat menengah atas dan juga Pendidikan Teknikal dan La­tihan Vokasional (TVET).

“TN50 adalah rangka nasional yang berpandangan jauh, jadi guru merupakan perantara yang tepat bagi membim­bing ge­­nerasi baharu un­­tuk men­jadi tunjang pemba­ngunan negara pa­­da masa akan datang,” katanya dalam sidang akh­bar di si­ni ba­ru-baru ini.

Menurut Moha­med Sabri, bagi men­capai has­rat itu, guru-guru perlu memainkan peranan ma­sing-masing dalam menyediakan murid dan pelajar yang mampu memenuhi aspirasi berkenaan, sekali gus menjamin kemenjadian murid.

“Kami melihat fokus kementerian dan Kementerian Belia dan Sukan terutamanya dalam agenda TN50 sangat jelas iaitu mahu mempersiapkan generasi muda kerana merekalah yang akan membimbing negara pada masa depan.

“Sebagai permulaan menjayakan aspirasi itu, guru-guru perlu dibekalkan dengan kemudahan teknologi, selain akses kepada kemudahan internet yang menyeluruh yang diyakini dapat membantu mereka menjalankan tugas,” katanya.

Katanya, kemudahan ICT yang dibekalkan oleh kementerian buat masa ini tidak mencukupi, malah tidak semua sekolah mendapat akses kepada kemudahan internet untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Tidak semua sekolah ada kemudahan ICT dan akses kepada internet memandangkan kedudukan sekolah yang terletak di kawasan pedalaman dan luar bandar selain kos yang tinggi untuk menyediakan kemudahan itu.

“Oleh itu, kerjasama pihak swasta amat dialu-alukan untuk membantu guru-guru dan murid di sekolah pedalaman menikmati kemudahan itu, sekali gus merapatkan jurang teknologi antara sekolah di bandar dan pedalaman,” katanya.

Ketika mengulas mengenai kerjasama pihak swasta, Moha­med Sabri berkata, sudah ada Program Sekolah Amanah dan Program Sekolah Transformasi (PST) yang diwujudkan hasil kerjasama kementerian dengan syarikat swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC).

“Program Sekolah Amanah kini sudah dikembangkan kepada 83 buah sekolah dan sebanyak 100 sekolah sudah menyertai PST pada 2016,” katanya.

Sementara itu, katanya, walaupun kementerian sudah mewujudkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), namun kerjasama pihak swasta amat ditagih bagi bersama-sama membantu kementerian dalam melahirkan pelajar yang berinovasi.

Beliau berkata, ketika ini terdapat beberapa buah sekolah yang sudah berani menggunakan peranti dan gajet sebagai medium PdP di bilik darjah dan usaha itu sedang diperhalusi di peringkat kementerian bagi melahirkan pe­lajar yang efisien.

“Kami di peringkat kongres menyokong penuh konsep PdP yang menggunakan teknologi semasa dan langkah itu perlu dilakukan bersungguh-sungguh kerana dilihat mampu melahirkan pelajar yang berinovasi,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, penggunaan gajet di sekolah dilakukan atas inisiatif guru sendiri di mana mereka menggunakan medium ICT untuk memudahkan proses PdP dalam kelas masing-masing.

“Bagaimanapun, tidak ba­nyak sekolah yang bersedia meng­gunakan medium PdP dise­babkan kekangan ICT dan tiada kemudahan jalur lebar,” katanya.