Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban), Datuk A. Aziz Deraman berkata, semua pimpinan politik perlu diberi kefahaman mengenai apa makna kontrak sosial dan falsafah dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau percaya usul mengenai ratifikasi ICERD tidak pernah dibincangkan secara mendalam oleh Kabinet tetapi perkara itu hanya sengaja dijuarai seorang individu tanpa diketahui niatnya yang sebenar.

“Kita beri amaran, jangan ada usaha untuk merobekkan Perlembagaan Persekutuan kerana kontrak sosial itu sudah dipersetujui sejak 1957 lagi, faham betul-betul ikrar di dalamnya dan jangan cuba langgar.

“Kami menentang sekeras-kerasnya usaha meratifikasi ICERD kerana Perlembagaan Persekutuan sudah menjamin kebebasan kepada semua, pengagihan ekonomi semua orang dapat rasa, dasar-dasar yang ada semua dapat faedah, malah kalau ikut Perlembagaan, pendidikan sepatutnya dalam satu bahasa iaitu Bahasa Melayu tetapi bahasa lain boleh dipelajari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Syarahan Perdana A. Kadir Adabi (3) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini hari ini.

Pada program itu, Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan telah menyampaikan syarahan bertajuk ‘Budaya Membaca, Ilmu Tinggi dalam Bahasa Melayu dan Peduli Nasib Rakyat’.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Datuk Dr Ibrahim Che Omar pula berkata, kerajaan perlu bertegas agar kandungan dalam Perlembagaan Persekutuan yang selama ini telah menjamin kestabilan negara tidak digugat mana-mana pihak.

“Kalau betul kerajaan baharu ini mahukan kedamaian maka kena pegang kepada Perlembagaan Persekutuan kerana ia satu kontrak perjanjian antara semua kaum yang dipersetujui sejak zaman British lagi.

“Kerajaan perlu didik semua kaum supaya faham, sekarang ramai pihak membuat demonstrasi akibat wujudnya golongan yang mempertikai Perlembagaan Persekutuan,” katanya. - UTUSAN ONLINE