Pengerusinya, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, pihaknya juga menuntut supaya kerajaan mengkaji semula syarat ditetapkan selepas golongan peniaga secara kecil-kecilan turut didakwa digugurkan daripada menerima BSH pada tahun ini.

"Apa yang kita pertikaikan ialah gaji minimum yang tidak terlalu tinggi dan rakyat menderita. Ramai dalam kalangan ibu tunggal hanya menerima gaji minimum sekiranya mereka cukup sihat untuk bekerja dan kebanyakan anak mereka pun tidak mempunyai pekerjaan tetap, jadi pendapatan mereka hanya di peringkat RM1,100 sebulan.

"Kita merasakan kalau kita tidak membantah perkara ini, pemberian BSH akan dikurangkan sedikit demi sedikit. Namun, jika ada gaji minimum yang baik dengan hospital kerajaan mempunyai kualiti perkhidmatan lebih tinggi serta kerajaan berupaya menawarkan pendidikan percuma, baru kita boleh menerima jika BSH ini mahu dihentikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas turut sama berhimpun di hadapan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini bagi menyatakan protes terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung isu tersebut.

Ketika ini, golongan ibu tunggal yang mempunyai anak berusia 18 tahun dan ke bawah, layak menerima BSH.

Begitu juga dengan golongan ibu tunggal memiliki anak berusia 19 tahun dan ke atas yang masih belajar secara sepenuh masa di institusi pengajian awam/swasta atau orang kurang upaya (OKU) berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, Jeyakumar menyifatkan pemberian tunai seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan oleh Barisan Nasional (BN) dan diteruskan sebagai BSH oleh kerajaan Pakatan Harapan, merupakan satu inisiatif yang baik.

Lebih-lebih lagi katanya, rakyat dalam kalangan keluarga miskin hidup tertekan ekoran gaji yang diterima tidak seiring dengan peningkatan kos sara hidup pada masa kini.

"Oleh sebab itu, kita memberi peringatan kepada kerajaan supaya jangan bersifat kedekut dengan menjimatkan duit melalui pengurangan peruntukan BSH.

"BSH ini mesti diteruskan dengan pemberian bantuan lebih banyak sebab kita yang bekerja di pusat khidmat melihat banyak orang berada di bawah bukannya mereka malas tetapi kerja lebih masa hanya dapat RM1,500, jadi itu mesej kita pada Guan Eng," katanya. - UTUSAN ONLINE