Rokiah dan abang kepada Rahimi, Rosdi, 42, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas di sini pada pukul 3.30 petang tadi.

Kedua-dua mereka diiringi wakil kerajaan negeri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz.

Rosdi berkata, menerusi maklumat awal dia difahamkan adiknya itu akan menjalani pembedahan buat kali kedua dalam tempoh terdekat.

“Adik saya telah menjalani pembedahan pertama untuk membuang peluru pada rusuknya dan difahamkan pembedahan tersebut berjaya.

“Saya dapat bercakap dengan isteri Rahimi awal pagi ini dan dia memaklumkan Rahimi perlu menjalani rawatan pada bahagian tulang belakang, kami belum memperolehi maklumat lebih lanjut kerana adik ipar juga masih terkejut,” katanya di sini hari ini.

Rahimi, 39, adalah antara dua rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera dalam insiden tembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood kelmarin serta kedua-dua mereka kini menerima rawatan di hospital.

Dalam kejadian itu, Rahimi dilaporkan cedera akibat terkena tembakan pada rusuk selepas berpura-pura mati ketika serangan. - UTUSAN ONLINE