Mereka yang rata-ratanya golongan nelayan dan petani mahu berbuat demikian selepas menempuhi pengalaman 'serba daif' ketika menghadiri mesyuarat PIBG di sekolah itu kelmarin, termasuk terpaksa duduk di bangku mini murid atau berdiri berhimpit-himpit sepanjang bermesyuarat.

Difahamkan, PIBG SK Cherang Ruku tidak mampu menyediakan lokasi yang lebih selesa kerana keadaan kewangannya tahun ini amat tenat akibat tidak menerima apa-apa sumbangan tambahan daripada mana-mana pihak termasuk wakil parti kerajaan Pusat.

Yang Dipertua PIBG SK Cherang Ruku, Zanawi Isa berkata, mesyuarat yang berlangsung semalam menyaksikan ibu bapa terpaksa duduk di bangku kayu mini yang lazim digunakan oleh murid-murid di dalam kelas dengan sebahagian lagi terpaksa berdiri sehingga program tamat.

"Pada tahun ini kita memang menghadapi masalah kewangan yang amat terhad. Kita masih tidak menerima sebarang sumbangan tambahan daripada mana-mana pihak bagi menggerakkan persatuan dan menjalankan program untuk murid.

"Dalam mesyuarat semalam, para ibu bapa setuju memberi sumbangan sebanyak RM10 mengikut bilangan anak dan mereka juga bersetuju setiap keluarga menyumbang satu unit kerusi plastik bagi kegunaan persatuan pada masa depan," katanya.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Zulkifli Zakaria dan beliau juga tidak dapat menjanjikan apa-apa bantuan kepada PIBG SK Cherang Ruku.

Ketika mesyuarat berlangsung, beberapa ibu bapa turut membangkitkan isu bantuan kewangan yang tidak lagi disalurkan oleh kerajaan Pusat atau sekurang-kurangnya oleh wakil parti pemerintah sebagaimana yang diamalkan kerajaan terdahulu.

"Peruntukan seharusnya disalurkan oleh wakil kerajaan Pusat bagi membantu PIBG mengatur program untuk murid-murid. Kita perlukan sokongan ini kerana golongan ibu bapa di sini bukan orang berada seperti di bandar-bandar besar.

"Tahun ini kami ibu bapa mengalas perut dengan sebotol air minuman kosong sepanjang mesyuarat kerana PIBG tidak mampu beli makanan walau makanan ringan sekalipun. Wang yang ada perlu dijimatkan untuk program anak-anak kita," kata seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Rohaya. - UTUSAN ONLINE