Setiausaha Kedua Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mohd. Husaini Zainuddin berkata, pi­haknya percaya ejen tersebut gagal mendapatkan pengesahan berkenaan status maahad tahfiz yang berdaftar di Mesir.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar me­nyemak dengan pihak kedutaan melalui Kementerian Pendidikan untuk memastikan maahad persendirian berdaftar secara sah dengan sektor sekolah al-Azhar.

“Ibu bapa perlu memastikan Maahad Tahfiz atau maahad persendirian (swasta) di Mesir ini berdaftar dengan sektor sekolah al-Azhar sebelum ibu bapa membuat komitmen untuk menghantar anak-anak mereka,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, seramai 126 pelajar Malaysia yang bersekolah di sebuah maahad tahfiz di A Sharqia, Mesir ditahan polis negara itu pada 27 Februari lalu berhubung kesalahan visa pelajar.

Pelajar-pelajar berkenaan yang berusia 10 hingga 22 tahun itu ditahan kerana tidak memiliki visa belajar yang sah atau tamat tempoh.

Mengulas lanjut, Mohd. Husaini berkata, semua 126 pelajar yang ditahan itu berada dalam keadaan selamat dan dijangka tiba di tanah air esok dan Isnin ini.

“Pelajar tersebut dijangka tiba di tanah air secara berperingkat-peringkat dengan menaiki penerbangan Qatar Airways dan Emi­rates,” jelasnya.