Guru Penolong Kanan Petang SK Bukit Jelutong, Rahimah Dhahran berkata, melalui taklimat yang diberikan, guru-guru mula mendapat gambaran yang jelas kaedah merancang pengajaran menggunakan aplikasi pada tablet itu terutama Tutor Guru dengan sempurna dan sistematik.

“Taklimat yang diberikan amat berguna dan berkesan ke­rana melaluinya, guru-guru mendapat gambaran jelas dan maklumat tepat tentang bagaimana aplikasi Tutor Guru ini dapat membantu mereka dalam PdPc,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut di sini hari ini.

Program intervensi itu dikendalikan Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain, Pengurus dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim serta Eksekutif Pendidikan Utusan Malaysia, Khairul Azmi Kamaludin.

SK Bukit Jelutong turut ditauliahkan sebagai Sekolah Mentor dalam program ini untuk dijadikan rujukan oleh sekolah lain di kawasan sekitarnya.

Dalam program ini, guru dibimbing bagaimana membuat persediaan aktiviti PdPc yang memenuhi keperluan pem­belajaran abad ke-21 iaitu dengan membina lembaran kerja digital yang mengandungi soalan latihan, sumber rangsangan multimedia dan jawapan berserta huraian.

Program intervensi ini dilaksanakan untuk penerima Tablet Guru yang setakat ini berjumlah 120,000 orang melibatkan guru di Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor.

Terdahulu, program ini dilaksanakan di Kolej Vokasional Kuching, Sarawak; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor; Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sri Aman, Petaling Jaya dan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.

Selain itu menurut Rahimah, penggunaan aplikasi Tutor Guru membantu guru menjimatkan masa menyediakan bahan PdPc di samping dapat meningkatkan daya pemikiran, sikap serta minat pelajar.

“Dengan aplikasi pada tablet ini guru mempunyai banyak pilihan untuk merancang PdPc termasuk menggunakan klip video, imej atau grafik sebagai bahan mengajar di dalam kelas.

“Penggunaannya dapat mendorong minat dan tumpuan pelajar yang sememangnya tertarik akan bahan digital” ujarnya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Utusan Malaysia kerana mengambil inisiatif menghasilkan program ini bagi membantu memantapkan bidang pendidikan negara seiring keperluan pembelajaran abad ke-21.