Komandan MTD, Brigedier Jeneral Abdul Halim Abu Hassan berkata, pem­belajaran pelajar juga menjadi lebih tersusun dan dapat mengukuhkan pemahaman mereka dengan pelbagai soalan serta latihan.

Selain itu katanya, program tersebut yang menggunakan medium seperti komputer dan telefon bimbit memberi peluang dan memudahkan pelajar me­ngulang kaji pelajaran walau di mana jua.

“Sebab itu saya bersetuju untuk melanggan sekali lagi pada tahun ini dan menggunakannya di makmal komputer dan perpustakaan supaya pelajar dapat menggunakan lebih awal lagi berbanding pertengahan atau hujung tahun.

“Malah, ada beberapa pelajar sebelum ini memberitahu soalan dalam Tutor A+ hampir sama dengan soalan dalam peperiksaan sebenar. Jadi apabila kita mulakan awal, mereka dapat manfaat lebih banyak lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Majlis Pelancaran Langganan Tutor A+ di sini hari ini.

Program Tutor A+ dikendalikan oleh syarikat pe­ngendali pendidikan, Tutordotcom Solution Sdn. Bhd. itu membantu kumpulan pelajar berkenaan untuk menjawab soalan seperti peperiksaan sebenar dengan membuat latih tubi yang turut boleh diakses melalui aplikasi telefon pintar masing-masing.

Program ini diadakan bertujuan memperkenalkan konsep pentaksiran secara atas talian yang menyeronokkan dan diberi perspektif baharu iaitu mudah, sedikit tetapi istiqamah atau berterusan.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Tutordotcom Solution Sdn. Bhd. Roslan Abdul Ghani berkata, penggunaan program tersebut sesuai dengan dunia pendidikan yang mengalami banyak perubahan dari semasa ke semasa dan harus digunakan sepenuhnya bagi menguasai ilmu, kemahiran serta membina personaliti cemerlang.

“Antara keistimewaannya adalah menyediakan latih tubi serta nota lengkap yang mampu menjadi alat mengajar dalam kelas de­ngan peningkatan kaedah pengajaran serta pembelajaran,” ujarnya.