Tinjauan Mingguan Malaysia di sekitar ibu kota hari ini mendapati, golongan belia berpendapat sisipan PEKEMA Auto adalah inisiatif terbaik daripada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Me­layu Malaysia (Pekema) untuk mening­katkan taraf jualan kenderaan di Malaysia.

Peniaga dan pelajar, Muhammad Syairazi Roslan, 18, berkata, pengiklanan jenama kenderaan memainkan peranan penting untuk menarik minat pembaca dan setiap iklan yang dipaparkan menepati citarasa pembaca.

Menurutnya, kenderaan idaman bagi golongan individu berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah serta golongan muda dan veteran adalah berbeza kerana faktor ekonomi serta usia.

“Taraf ekonomi dan pendapatan semua individu sememangnya tidak sama namun kami mempunyai impian yang sama untuk memiliki kenderaan idaman yang berpatutan dan bersesuaian dengan kemam­puan kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, pekerja swasta, Khairil Azlimin, 27, berkata, PEKEMA Auto mungkin boleh memberi maklumat mengenai kende­raan mampu milik seperti menambah info mengenai kenderaan nasional dan kenderaan terpakai untuk keluaran akan datang.

Pembeli berisiko untuk diperdaya ejen atau peniaga sekiranya mereka sekadar mendapat maklumat mengenai kenderaan yang ingin dijual di laman sosial dan internet sahaja.

“Penambahan info sedemikian membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana membeli kenderaan dan seterusnya menyumbang ke arah peningkatan ekonomi Malaysia,” katanya.

Hasmira Yahya, 27, pula mencadangkan agar komen pengguna yang telah membeli kenderaan yang diiklankan perlu disiarkan kerana ruangan tersebut berpeluang menjadi modal kepada pihak peniaga untuk melariskan perniagaan mereka.