Menteri Pendidikan, Dr. Masz­lee Malik berkata, beliau yang se­nada dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkaitan PTPTN turut menyeru agar peminjamnya bersikap amanah untuk membuat pembayaran balik dengan segera.

“Manifesto satu hal tetapi saya memperkatakan tentang sikap amanah. Tun Dr. Mahathir pun tekankan perkara ini (hutang). Pembangkang semua benda nak politikkan, politik letak tepi.

“Kita bicara tentang akhlak moral. Kita pinjam duit, kita bayar. Tak banyak kita bayarlah. Boleh bayar RM50 sebulan kita bayarlah RM50 sebab dalam ajaran Islam kalau mati syahid pun kalau berhutang tak masuk syurga,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Siputeh di Padang Sera, Kodiang di sini hari ini.

Akhbar melaporkan Dr. Mahathir berkata bahawa sikap tidak amanah peminjam menjadi punca jumlah tunggakan hutang bayaran balik PTPTN menjangkau sehingga RM36 bilion.

Kata beliau, kebanyakan daripada peminjam mempunyai pekerjaan dan memperoleh pendapatan sendiri, namun masih belum mahu membayar hutang PTPTN.

Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi daripada ba­nyak pihak termasuk pe­mimpin UMNO kerana manifesto PH pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 menawarkan pe­nangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan.

Mengulas lanjut kata Maszlee, budaya amanah terutama dalam melangsaikan hutang harus dipupuk dalam kalangan masyarakat terutama dari peringkat sekolah.

“Kita akan ajar di sekolah. Budaya ini yang akan kita semarakkan dalam masyarakat kita bila berhutang, kita bayar, bila tak bayar kita malu.

“Masyarakat Malaysia perlu ada sikap moral, bila pinjam harus bayar walaupun sedikit,” katanya.

Bercakap tentang lawatan itu, katanya, kerja-kerja membaik pulih infrastruktur di sekolah daif di seluruh negara terutama di kawasan luar bandar perlu di­siapkan segera bagi memastikan keselesaan kepada warga sekolah.

“Saya sasarkan sebanyak 10 peratus daripada jumlah ke­seluruhan sekolah daif dapat disiapkan kerja-kerja berkenaan sehingga hujung tahun. Sekolah di Sarawak dan Sabah yang pa­ling banyak masalah projek yang tidak disiapkan mengikut jadual dan ada juga masalah itu di beberapa buah negeri termasuk Johor, Terengganu dan Kedah,” katanya.