Kerajaan, katanya, masih belum memuktamadkan ke­pu­tusan berkaitan penghapusan hukuman mati kerana masih dalam proses kajian selain menunggu maklum balas daripada beberapa kementerian dan agensi sebelum cadangan itu dibentangkan di Parlimen.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2019 di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini hari ini.

Pada Selasa, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berpendapat kerajaan sewajarnya meng­adakan pungutan suara atau referendum di peringkat nasio­nal terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan menghapuskan hukuman mati.

Abdul Rahim berkata, keputusan menghapuskan hukuman berkenaan adalah keputusan amat besar dan tidak wajar membelakangkan pendapat umum sebelum perkara tersebut diputuskan sepenuhnya kelak.

Dalam perkembangan lain, Vui Keong berkata, pihaknya akan membawa cadangan melanjutkan umur persaraan hakim kepada 70 tahun untuk pertimbangan Kabinet berikutan ia adalah umur persaraan standard diguna pakai badan kehakiman di rantau ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam kenyataan melahirkan kebimbangan terhadap kekosongan besar bakal berlaku dalam badan kehakiman negara berikutan persaraan empat hakim tertinggi negara tahun ini.

Menurutnya, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum akan bersara pada April manakala Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim pula akan bersara pada Mei selepas lanjutan perkhidmatan selama enam bulan.

Turut bersara wajib pada tahun ini ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah yang masing-masing akan bersara pada Mei dan Ogos ini.

Bung Moktar justeru mencadangkan kerajaan memberi pertimbangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menaikkan tempoh perkhidmatan hakim kepada 70 tahun termasuk melanjutkan pelantikan keempat-empat hakim tertinggi berkenaan supaya dapat terus berkhidmat sehingga umur tersebut.

Terdahulu, Vui Keong bersama 177 pengamal undang-undang dari Sabah dan Sarawak menyertai perarakan Pembukaan Tahun Perunda­ngan Sabah dan Sarawak 2019, pagi tadi.

Perarakan 1.66 kilome­ter bermula dari Kompleks Ka­ra­munsing ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu itu diketuai ketua hakim negara diiringi Peguam Negara, Tommy Thomas.

Sabah menganjurkan program itu sejak 18 tahun lalu sebelum disertai Sarawak pada 2009, sekali gus menjadi platform bagi pengamal perundangan berkumpul dan menyusun matlamat baharu selain berkongsi aspirasi serta pencapaian positif yang boleh dijadikan petunjuk prestasi pada masa depan. – BERNAMA