Menurut kenyataan pejabat Timbalan Perdana Menteri hari ini, kedua-dua kerajaan Malaysia dan China juga bersetuju supaya isu-isu kecil tidak seharusnya menjejaskan hubungan kedua-dua negara yang telah terjalin sejak ratusan tahun. 



Menurut kenyataan itu perkara ini merupakan antara yang ditekankan dalam kunjungan hormat Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di bangunan Parlimen di sini Khamis lepas.



Dr. Wan Azizah berkata hubungan antara kedua-dua negara telah berkembang dan menjadi semakin kukuh.



“Kini kita mempunyai urusan yang lebih kukuh antara satu sama lain dalam pelbagai bidang termasuk wanita, Kita mahu lebih banyak pemberdayaan dan kemajuan untuk wanita," katanya.



Dr. Wan Azizah berkata, Malaysia berhasrat memperluaskan hubungan dagang serta pelbagai bidang lain dengan China sebagai tambahan dengan yang apa telah sedia ada dan ingin melihat ramai pelancong China berkunjung ke negara ini.



“Ini adalah kerajaan baru dan persekitaran baru dalam erti kata itu. Perubahan demokrasi di Malaysia berlaku secara aman. Keharmonian yang kita tunjukkan dan kita amalkan adalah penting,” kata beliau.



Bagi tempoh Januari hingga Mac 2018, jumlah perdagangan dengan negara China meningkat sebanyak 0.3 peratus untuk mencapai RM68.94 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.



Jumlah eksport meningkat 0.3 peratus kepada RM29.18 bilion manakala jumlah import meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada RM39.75 bilion bagi tempoh masa yang sama.



Sementara itu dalam kenyataan yang sama Bai dipetik sebagai berkata, bahawa China dan Malaysia mempunyai hubungan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama menerusi lawatan bersejarah Laksamana Cheng Ho di Selat Melaka.



“Jadi apa sahaja cabaran yang dilalui dalam politik, hubungan kemanusiaan antara rakyat kedua-dua negara akan tetap berlaku. Ini merupakan asas yang mengukuhkan hubungan antara dua buah negara.



“Jadi marilah kita mempereratkan hubungan rakyat dengan rakyat serta menerusi komunikasi silang budaya kerana menerusi lebih banyak pertukaran kita akan dapat mengenali budaya serta kepercayaan masing-masing,” katanya.



Bai mencadangkan pertukaran lawatan antara pertubuhan wanita Malaysia dengan China agar kaum wanita di kedua-dua negara dapat bertukar-tukar pendapat.



“Saya ingin menggalakkan lebih banyak pertukaran, bukan sahaja antara Cina Malaysia dengan rakyat negara China tetapi juga antara pelajar Melayu dan pelajar China agar hubungan kita akan lebih mantap dan semakin terserlah,” katanya.



Beliau menambah Malaysia bertuah kerana mempunyai masyarakat pelbagai budaya, agama dan bangsa di mana keharmonian hidup antara bangsa dan budaya yang berbeza itu mengagumkan dunia.



Bai juga menyatakan kekagumannya terhadap ketabahan Dr. Wan Azizah dalam menghadapi segala bentuk cabaran.



“Saya ingin menyatakan kekaguman dan hormat terhadap Dr. Wan Azizah kerana beliau telah menunjukkan kecekalan dan ketekunan bersama suami dalam perjuangan parti dan ini amat mengagumkan,” katanya.

 - BERNAMA