Sehubungan itu katanya beliau tidak faham dengan pandangan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata, kerajaan sepatutnya menunggu  sehingga garis masa tender projek tamat pada penghujung tahun ini sebelum membuat keputusan menangguhkan HSR.  

"Kenapa kena tunggu sampai hujung tahun? Jika kita tidak buat (penangguhan) sekarang  nanti akan kena bayar lebih... kerana secara asasnya lagi lambat kamu hentikan lagi banyak pampasan perlu dibayar. 

"Saya tidak faham apa lojik dia (Najib), melainkan jika mahu kita membayar lebih banyak. Saya perlu membaca lebih lagi penjelasan dia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Taklimat dan Penerangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Dewan Perniagaan Cina Bentong di sini, hari ini.

Guan Eng mengulas kenyataan Najib menerusi laman Facebooknya bahawa kerajaan sepatutnya menunggu sehingga tender projek HSR ditutup sebelum memeterai perjanjian dengan Singapura untuk menangguhkan projek itu sehingga Mei 2020. 

Najib dilaporkan berkata, tender untuk pakej pembiayaan kewangan HSR itu kebiasaannya sangat berdaya saing menjadikan tidak mustahil pembida akan memperuntukkan pakej pinjaman dengan kadar faedah sifar atau 0.1 peratus selain tempoh moratorium daripada sebarang bayaran balik seperti projek sama di India dan Indonesia.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan persetujuan kerajaan membayar kos abortif atau kos terbantut sebanyak S$15 juta (RM45.1 juta) kepada kerajaan Singapura susulan keputusan penangguhan terbabit.

Mengulas mengenai SST, Guan Eng berkata, kesediaan kerajaan menambah senarai barang yang dikecualikan cukai berdasarkan maklum balas orang ramai menjelang akhir tahun ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah (B40)

"Sebagai contoh aksesori telefon bimbit yang dahulu dikenakan cukai 10 peratus tapi dikurangkan kepada 5 peratus selepas kita dapat maklum balas bahawa ramai yang menggunakannya. 

"Kerajaan terima pandangan rakyat kerana yang paling penting ialah kita pastikan kerajaan boleh mengutip hasil tanpa mengurangkan kesejahteraan rakyat yang menjadi keutamaan kami," katanya. 

Guan Eng berkata,  peniaga juga tidak perlu bimbang untuk berbincang dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia jika mempunyai masalah kerana mereka mengamalkan pendekatan lembut, mesra dan prihatin dalam tempoh awal pelaksanaan semula SST. 

Katanya, kastam tidak akan mengambil pendekatan menghukum mereka yang melakukan kesalahan pada peringkat awal, namun berharap peniaga yang terlibat dapat tampil bertemu pihak berkenaan. -BERNAMA