Menurut Perdana Menteri, kerajaan tidak boleh kata bahawa negara tidak akan ada kereta api berkelajuan tinggi kerana perkhidmatan itu merupakan sesuatu yang diperlukan pada masa depan terutamanya merentasi kawasan semenanjung.

“Kerajaan tidak mampu untuk membinanya masa ini, jadi kami sebenarnya menangguhkan pelaksanaan projek tersebut.

“Kerajaan tidak boleh kata kita tidak akan ada kereta api berkelajuan tinggi di Malaysia. Apa yang kerajaan boleh lakukan ialah menangguhkan projek tersebut kerana menelan perbelanjaan yang besar pada waktu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama Nikkei Asian Review, baru-baru ini.

Pada 28 Mei lalu, Dr. Mahathir memberitahu, kerajaan telah membuat keputusan akhir untuk membatalkan projek HSR kerana tidak memberi manfaat serta melibatkan kos yang tinggi.

Dr. Mahathir berkata, kereta api laju berkelajuan tinggi paling efektif apabila jaraknya panjang.

“Tetapi sekiranya jaraknya pendek, ia tidak menyumbang banyak. Jadi, kami perlu memikirkan semula kereta api berkelajuan tinggi ini,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE